Ahmad Zahid Harap Lebih Ramai Libatkan Diri Bersama APM

KUALA LUMPUR, 25 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar lebih ramai rakyat melibatkan diri bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ini bagi memastikan anggota agensi APM diperluas dan mempunyai lebih ramai perwakilan untuk berkhidmat di seluruh negara.

“Selepas selesai Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT), saya telah menyempurnakan penyampaian watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada 60 orang pegawai-pegawai tertinggi yang bersama di dalam MPT.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya berharap agar lebih ramai melibatkan diri bersama APM sama ada sebagai pegawai ataupun sukarelawan APM bagi memastikan anggota agensi ini diperluas dan seterusnya mempunyai lebih ramai perwakilan untuk berkhidmat di seluruh negara.

“Semoga penganugerahan ini akan meningkatkan lagi semangat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara sekaligus menaikkan imej APM di negara ini terutama dalam memelihara keselamatan awam dan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Seramai 60 orang pegawai tertinggi APM telah dikurniakan watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu Angkatan, semalam.

Untuk rekod, APM merupakan agensi yang bertindak sebagai agensi dalam tindakan bencana dan kecemasan. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah ditubuhkan pada 24 Mac 1952 dan kini telah melalui pelbagai revolusi dalam peningkatan dan pemodenan sebagai agensi penyelamat demi kesejahteraan sejagat.

Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi anggota APM boleh mendaftar secara atas talian di laman sesawang https://civildefence.spab.gov.my/. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.