Warga BHEUU Perlu Seiring Jayakan Agenda Reformasi Institusi – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) untuk bergerak seiring bagi menjayakan agenda reformasi institusi yang diusahakan oleh Kerajaan Madani.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut menzahirkan harapan agar setiap pegawai di BHEUU akan membawa banyak pembaharuan ke arah lebih baik.

“Pada perhimpunan bulanan kali ini, saya menzahirkan harapan agar setiap pegawai di BHEUU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) membawa pembaharuan lebih banyak kepada bahagian ini, ke arah yang lebih baik.

“Perlu ditegaskan, di bahu BHEUU terletak banyak tanggungjawab mencabar melibatkan agenda reformasi institusi.

“Saya juga menyeru seluruh warga BHEUU untuk bergerak serirama dan seagenda dalam menjayakan reformasi institusi yang diusahakan oleh Kerajaan Madani. BHEUU mempunyai peranan yang besar dalam merealisasikan perubahan-perubahan ini,” katanya.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan beberapa usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak BHEUU dalam menggubal undang-undang dan mengharapkan agar perhimpunan bulanan tersebut mampu menerapkan nilai kebersamaan.

“Saya turut memaklumkan beberapa usaha yang akan dilaksanakan oleh pihak BHEUU termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen, penggubalan RUU Ombudsman Malaysia dan RUU Keselamatan Digital.

“Diharapkan perhimpunan bulan ini terus menjadi tradisi dalam menyampaikan aspirasi kerajaan, sekali gus menerapkan nilai kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan warga kerja BHEUU,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melancarkan program ‘Justice On Wheels’ dengan tujuan untuk memberikan khidmat nasihat secara ‘mobile’ kepada rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Hari ini, saya melancarkan program ‘Justice on Wheels (JOW)’ bertujuan memberi khidmat nasihat secara ‘mobile’ kepada orang ramai yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman seluruh Malaysia.

“Ini terutama yang sukar mendapatkan akses kepada keadilan akibat faktor lokasi dan kurang pemahaman serta kesedaran kepada kemudahan yang disediakan kerajaan. Bagi tahun 2024, sebanyak 15 program ‘pilot’ JOW akan dilaksanakan di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Kenderaan yang digunakan untuk program ini telah diubahsuai bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan yang hadir mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di dalam van tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.