UMNO Konsisten Terus Pertahan Islam, Perjuangkan Bangsa Dan Kedaulatan Tanah Air – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 24 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa UMNO adalah satu-satunya parti yang konsisten dalam perjuangan demi mengekalkan maruah agama, bangsa dan negara.

Katanya, sejak penubuhannya dan sehingga ke hari ini UMNO terus dalam perjuangan parti serta lantang mempertahankan hal berkaitan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Kita lihat baru-baru ini apabila isu berkaitan kalimah Allah maka UMNO adalah satu-satunya parti yang lantang bersuara menentang hal yang tidak betul… bukan parti Pas atau bukan juga PPBM yang kononnya nak ganti UMNO yang bercakap sebaliknya UMNO berjuang bersungguh-sungguh.

“Tidak kiralah UMNO berada dalam keadaan apa sekalipun, jadi kerajaan, jadi pembangkang dan sekarang dalam Kerajaan Perpaduan namun pendirian UMNO tidak pernah berubah.

“UMNO tidak pernah apologetik dengan mana-mana pihak apabila membabitkan soal agama Islam, kepentingan kaum dan juga kedaulatan tanah air malah itulah yang jadi asas dalam perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sewaktu merasmikan Mesyuarat Cawangan UMNO Berkelompok Bahagian Seputeh pada Ahad.

Dalam kesempatan tersebut beliau turut menjelaskan berkaitan isu-isu semasa agar dapat dimanfaatkan oleh kepimpinan cawangan untuk anggota akar umbi kelak.

Katanya, pemahaman tentang kebersamaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan ia tidak pernah mengubah apa-apa pendirian parti terbabit.

“UMNO ini parti yang berstruktur, mempunyai organisasi dan disokong oleh masyarakat dari seluruh negara hingga ke Sabah, maka mesyuarat Cawangan inilah peluang terbaik kita berikan penjelasan.

“Kita juga perlu perkukuhkan kesatuan dan perpaduan kita dahulu agar kita dapat memberi penjelasan lebih baik kepada masyarakat keseluruhannya nanti,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan.

Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii dan juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Terdahulu MKT UMNO memutuskan persidangan cawangan seluruh negara diadakan bermula 22 April dan akan berakhir pada 2 Jun 2024, manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.