Tolak Dakwaan UMNO Parti Malaya, Perjuang Nasib Rakyat Termasuk Sabah – Jeffery Nor

PUTATAN, 24 April – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed menegaskan bahawa UMNO adalah parti bersifat kebangsaan yang mendukung perjuangan demi agama, bangsa dan negara di seluruh negara.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata demikian sebagai menolak keyataan segelintir pihak yang masih memainkan sentimen kenegerian bagi meraih sokongan politik di Sabah.

Dalam hal ini, Jeffery Nor menyokong kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkunjung ke Sabah baru-baru ini dengan berkata bahawa UMNO bukan sebuah parti Malaya sebaliknya ia adalah sebuah parti kebangsaan yang memperjuangkan nasib rakyat seluruh negara termasuk di Sabah.

“Sudah lebih 33 tahun UMNO bertapak di Sabah malah semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN), UMNO Sabah juga melakar pelbagai kemajuan dan pembangunan untuk negeri ini.

“UMNO Sabah bukan hanya dianggotai oleh satu-satu kaum atau etnik tetapi uniknya kita bersatu dalam kepelbagaian iaitu ada pelbagai rumpun yang sama-sama sepakat untuk meneruskan legasi perjuangan demi kestabilan dan kemajuan secara keseluruhan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut membidas pihak lawan yang masih menggunakan hal terbabit sebagai isu politik.

“Ini adalah tindakan yang tidak matang malah menggambarkan mereka ketandusan isu kerana seringkali memainkan sentimen kenegerian yang tidak memberi kebaikan sedangkan kita dalam politik baharu yang lebih kritis dan membina.

“Lebih-lebih lagi mereka yang membuat sentimen negatif terhadap UMNO ada yang pernah berada dalam parti ini sebelum keluar parti dan memberikan sokongan kepada pihak lawan, malah pernah menjawat jawatan juga dalam kepimpinan BN/UMNO dahulu.”

Tegasnya, dalam hal ini UMNO menolak tindakan berbaur perpecahan dan menyeru semua pihak untuk memperkukuh perpaduan.

Dalam masa yang sama, Jeffery Nor meminta semua pihak berfikir secara telus tanpa prejudis apatah lagi hal-hal yang melibatkan pelbagai jasa BN/UMNO di Sabah.

“Telah terpahat dalam sejarah Negeri Sabah betapa besarnya sumbangan UMNO kepada kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi oleh rakyat Sabah hari ini. Antara jasa terbesar UMNO di Negeri Sabah menjadi kebanggaan rakyat ialah Lebuhraya Pan Borneo, bangunan Jabatan Ketua Menteri Sabah, bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Masjid Negeri Sabah selain pelbagai kemajuan lain.”

Justeru katanya, sebelum apa-apa tuduhan dibuat maka sewajarnya bersifat matang dan lihat apa yang ada dan apa yang telah dirasai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.