Ruzaini Bidas Dakwaan PN Ganti UMNO… Kenyataan Jauh Panggang Dari Api

KUALA LUMPUR, 24 April – Tiada keperluan untuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli untuk membuat kenyataan seolah-olah PN adalah kerajaan terbaik, bidas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais.

Menurut beliau, ini kerana banyak isu-isu rakyat yang masih membelenggu bukan sahaja di negeri ini tetapi juga negeri-negeri lain di bawah pentadbiran PN.

“Ini adalah salah satu kenyataan yang jauh panggang dari api dan tidak mengukur baju di badan sendiri. Sudah jelas lagi nyata, rekod-rekod perkhidmatan yang telah dibuat oleh kerajaan PN ketika memerintah Malaysia pada suatu masa dahulu dan beberapa negeri pada masa kini hendaklah diambil kira untuk rakyat Malaysia membuat penilaian dengan sebetul-betulnya.

“Banyak kelemahan-kelemahan ketika PN mentadbir negara dan negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Masalah air yang tidak kunjung selesai, projek-projek yang dirancang oleh Kerajaan PN hanya tinggal janji semata dan jelas kita dapat lihat kini, mereka iaitu PN tidak mampu menjadi pembangkang yang baik. Oleh itu, saya merasakan tiada keperluan untuk Pengerusi PN Negeri Perlis untuk membuat kenyataan seolah-olah PN adalah kerajaan terbaik,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Pengerusi PN yang juga Menteri Besar Perlis bahawa PN Perlis sedia menjadi galang ganti UMNO bagi mentadbir negeri dan negara ini sambil menyifatkan lumrah kehidupan yang naik pasti akan turun yang dipercayai merujuk kepada UMNO.

Ruzaini malah berkata di peringkat Pusat, PN acap kali hanya bercakap berkenaan penukaran kerajaan sahaja, berbanding berusaha untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang dalam Kerajaan Madani yang mampu memberi idea tuntas demi kemaslahatan negara.

Dalam pada itu beliau juga berharap PN untuk rasional dan fokus kepada agenda prihatin rakyat dengan meneruskan projek-projek pembangunan kerajaan negeri Perlis dahulu di bawah BN secara profesional.

“Tidak dapat dinafikan lagi UMNO yang mentadbir kerajaan lebih daripada 60 tahun tetap terbaik melalui dasar-dasar yang diperkenalkan demi kebaikan rakyat Malaysia.

“Laksanakan projek-projek berimpak tinggi yang telah dirancang kerajaan negeri sebelum ini dapat memberi manafaat langsung kepada rakyat negeri Perlis kerana secara peribadi, saya melihat ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari PN di Perlis ini masih tercari-cari rentak dan ada yang masih terkejut dengan kemenangan yang diraih sebelum ini walaupun sudah setahun lebih dari tempoh PRU-15 lepas.

“Memang betul lumrah kehidupan, yang naik pasti akan turun, kerajaan PN Negeri Perlis akan turun dan digantikan dengan kerajaan Madani insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.