PRK Kuala Kubu Bharu: Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan

HULU SELANGOR, 24 April – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao, 31, diumumkan sebagai calon yang akan mewakili parti Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu 11 Mei depan.

Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke mengumumkan perkara berkenaan pada Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Bharu di hadapan pendukung serta penyokong parti yang memenuhi perkarangan Pusat Khidmat ADUN Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Turut meriahkan suasana pimpinan parti kerajaan perpaduan termasuklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Pengerusi Dap Selangor, Gobind Singh Deo; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pimpinan parti Kerajaan Perpaduan yang lain.

Dalam ucapannya, Anthony Loke merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan parti Kerajaan Perpaduan dalam usaha membantu kemenangan calon perpaduan.

Beliau percaya kombinasi pengalaman daripada pimpinan parti yang ada dalam parti perpaduan hari cukup baik dan mampu digembleng sepanjang kempen PRK nanti.

“Kita iktiraf kekuatan jentera BN (Barisan Nasional) serta jentera sedia ada daripada Harapan yang sudah tentu masing-masing boleh meyakinkan masyarakat di DUN Kuala Kubu Bharu.

“Acuan dan gandingan kita hebat dan mantap. Walaupun Kerajaan Perpaduan tidak sampai dua tahun… bermula daripada PRK DUN Tioman, PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram, Pelangai dan yakin akan diteruskan di KKB (Kuala Kubu Bharu),” katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu diisytiharkan kosong selepas Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pengundian bagi PRK akan berlangsung pada 11 Mei depan, manakala hari penamaan calon pada 27 April.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Lee Kee Hiong daripada Dap berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.