Persidangan Cawangan Wanita Dan Aidilfitri Eratkan Lagi Ukhuwah Antara Satu Sama Lain – Norshida

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Persidangan Cawangan UMNO seluruh negara yang bermula Isnin sememangnya menjadi tumpuan saban tahun dan sudah pasti ia dinantikan buat ahli dan akar umbi UMNO.

Bagi Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim akar umbi adalah nadi dalam sesebuah parti politik dan hakikat itulah yang sememangnya tidak boleh dinafikan sama sekali kerana tanpa mereka perjalanan sesebuah parti politik tidak akan ke mana.

Menurut beliau kombinasi serta kerjasama akar umbi dan pelbagai peringkat lapisan sehingga ke peringkat atas adalah ramuan yang amat bermakna dalam usaha UMNO hari ini untuk terus mengorak langkah berdepan cabaran serta badai yang saban kali silih bertukar-ganti.

“Alhamdulillah dalam suasana Syawal yang masih disambut seluruh negara oleh masyarakat Islam serta persidangan cawangan Wanita UMNO tentunya memberi kelebihan kepada cawangan-cawangan Wanita UMNO untuk adakan majlis serentak yang tentunya memberi banyak manfaat kepada masing-masing.

“Selain melaksanakan tugas dan amanah kita selaku pimpinan dan ahli akar umbi, inilah masanya juga untuk masing-masing mengeratkan lagi tali silaturahim antara satu sama lain. Yang jauh kita dekatkan dan yang dekat kita rapatkan… insya-Allah ahli parti dalam satu saf,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut beliau seterusnya percaya dan penuh yakin masing-masing di akar umbi telah faham peranan mereka pada persidangan cawangan dan tentunya platform tersebut dimanfaatkan sebaiknya.

Tambah beliau masing-masing sudah pasti berkongsi pandangan dalam usaha memastikan UMNO terus relevan dan terus mendapat kepercayaan masyarakat Melayu di negara ini sebagai sebuah parti yang menaungi mereka.

“Pastinya banyak perkara yang akan menjadi tumpuan masing-masing… apatah lagi pasca Pilihan Raya Umum yang lalu dan juga keberadaan parti yang hari ini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Selamat bersidang… kepada seluruh cawangan Wanita UMNO seluruh negara, gunalah ruang sebaiknya dan kita carilah titik kekuatan bersama demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air kita, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.