Persidangan Cawangan UMNO: Perkukuhkan Parti, Berikan Keyakinan Pada Rakyat – Jalaluddin

REMBAU, 24 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias mengutuskan selamat bersidang kepada seluruh ahli UMNO yang bermesyuarat cawangan bermula pada 22 April.

Jelasnya, dalam kesempatan bersidang ini ahli UMNO diharapkan dapat memperkukuhkan parti dan berikan keyakinan semula pada rakyat.

“Saya juga mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh akar umbi parti yang akan bermesyuarat di peringkat cawangan-cawangan bermula pada 22 April hingga 2 Jun 2024.

“Gunakan kesempatan ini untuk kita perkukuhkan barisan di peringkat akar umbi dan yang penting sekali untuk memberikan keyakinan semula kepada rakyat secara keseluruhannya agar memberi sokongan buat parti keramat iaitu UMNO untuk masa depan, insya-Allah,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu turut menasihati seluruh ahli parti agar terus hormat-menghormati sesama ahli dan juga masyarakat.

“Kepada semua ahli-ahli UMNO dan masyarakat dari pelbagai kaum dan bangsa di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya pada kali ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan sesama kita.

“Hormat-menghormati di antara kaum yang lain dan yang paling penting bagi kita ialah mengekalkan perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama.”

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian untuk Tahun 2024 dan perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Januari lalu.

Bagi mesyuarat cawangan diadakan pada 22 April hingga 2 Jun, mesyuarat bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai, manakala Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.