Mesyuarat Cawangan UMNO Platform Terbaik Jelaskan Pelbagai Isu – Faizal Ramli

REMBAU, 24 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Faizal Ramli menyeru semua cawangan UMNO seluruh negara mengadakan mesyuarat masing-masing seperti yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Ini kerana katanya ahli akar umbi perlu menjadikan platform mesyuarat cawangan UMNO sebagai usaha mengukuhkan muafakat parti serta memperjelaskan segala isu.

“Kita tahu ini adalah tanggungjawab sebagai ahli parti dan perlu mengadakan Mesyuarat Agung Cawangan setiap tahun. Platform mesyuarat ini adalah yang terbaik untuk kita jelaskan sebarang isu-isu semasa.

“Walaupun berbagai-bagai isu yang melanda pada UMNO namun saya yakin bahawa kebanyakannya masih lagi mengharapkan serta percaya UMNO akan terus bangkit seterusnya kembali berkuasa pada pilihan raya akan datang.

“Dengan mesyuarat ini maka gunakanlah untuk ahli-ahli UMNO di peringkat bawah akan mendapat keyakinan bahawa apa jua keputusan yang telah pun dibuat oleh pucuk pimpinan parti adalah untuk kebaikan kita semua, insya-Allah dan selamat bermesyuarat cawangan UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Port Dickson yakin semangat akar umbi UMNO masih kuat dan parti ini terus kekal relevan serta diterima pelbagai masyarakat.

“Saya yakin dan percaya bahawa semangat ahli-ahli UMNO masih kuat, kukuh dan saya minta kita buktikan bahawa UMNO ini akan terus relevan dan diterima masyarakat terutamanya orang Melayu,” jelas beliau.

Persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula 22 April sehingga 2 Jun 2024, manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.