Manfaatkan Mesyuarat Cawangan Sebaiknya, Martabatkan Parti Demi Perjuangan – Azhari

KUALA LUMPUR, 24 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap mesyuarat di peringkat cawangan dimanfaatkan sebaiknya ke arah memartabatkan parti keramat ini.

Katanya, ini kerana mesyuarat ini sebagai simbolik kepada suntikan semangat baharu ke arah memperkukuh perjuangan parti yang telah dimeterai sejak awal penubuhannya.

“Saya harapkan persidangan ini memberikan satu suntikan semangat kepada semua perwakilan di semua peringkat di seluruh negara dengan kehadiran yang luar biasa di setiap persidangan di bahagian-bahagian.

“…dengan memberi sokongan yang padu kepada kepimpinan utama kita Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya ucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO di seluruh negara, bersidanglah dengan berhemah dengan penuh semangat kekeluargaan UMNO dan juga demi maruah parti, ayuh kita beramai-ramai menghadirkan diri, meluangkan waktu,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pandangan-pandangan yang dibawa oleh perwakilan sudah semestinya akan menjadi sandaran kepada kepimpinan untuk mendepani dinamika politik tanah air.

“Hari ini dengan kita menghadirkan diri di persidangan dengan memberi pandangan-pandangan yang konstruktif bagi membina semula parti ini akan lebih mantap dan lebih kuat lagi untuk menghadapi kekuatan di masa akan datang.

“Untuk meneruskan perjuangan dan buatlah yang terbaik demi masa depan parti dan kelangsungan perjuangan UMNO itu sendiri,” ujar beliau.

Terdahulu, persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula hari ini sehingga 2 Jun 2024.

Manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.