KPK Beri Komitmen Bantu FELDA, Atasi Masalah Kekurangan Pekerja – Johari

KUALA LUMPUR, 24 April – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menyatakan komitmen untuk membantu FELDA mendapatkan tenaga kerja bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja yang membelenggu mereka.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau telah berkesempatan untuk bertemu dengan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Selasa.

“Saya telah bertemu dengan Pengerusi FELDA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan juga pegawai-pegawai kanan FELDA. Mereka berdepan dengan masalah yang begitu kronik untuk mentadbir seluas 350,000 hektar ladang-ladang kelapa sawit yang bernaung di bawah FELDA.

“Salah satu isu utama yang dibangkitkan adalah FELDA berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja asing untuk menjalankan aktiviti-aktiviti perladangan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan Kementerian KPK akan turut bekerjasama dengan FELDA untuk mewujudkan kelompok kluster-kluster pekebun kecil yang disatukan sekitar saiz diantara 8,000 hingga 10,000 hektar.

“Saya telah memberi komitmen bahawa Kementerian Perladangan dan Komoditi – KPK akan membantu FELDA untuk mendapatkan tenaga kerja selaras dengan keputusan yang dipersetujui oleh jemaah menteri bahawa sektor perladangan khususnya bagi ladang kelapa sawit dan getah ini diberi keutamaan mendapatkan pekerja asing kerana sektor-sektor perladangan ini adalah sebahagian dari sektor 3D yang agak kritikal melibatkan ‘difficult, dangerous and dirty’.

“Antara usaha lain, Kementerian KPK akan turut bekerjasama dengan FELDA untuk mewujudkan kelompok kluster-kluster pekebun kecil yang disatukan sekitar saiz diantara 8,000 hingga 10,000 hektar ladang sawit bagi membolehkan mereka mengguna pakai amalan pengurusan ladang yang lebih efisien melalui mekanisasi dan teknologi lebih baik untuk menuai sawit, sekali gus mampu menambah kapasiti pengeluaran minyak sawit mentah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.