Persidangan UMNO Cawangan Suntik Nilai Kebersamaan, Kesatuan Dalam Kalangan Ahli

KUALA LUMPUR, 23 April – Persidangan UMNO Cawangan platform terbaik bagi menyuntik nilai kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan ahli parti, kata Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor berkata ia penting sebagai usaha memperkasa agenda parti keramat ini dalam meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

“Maka, bermulalah Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan di seluruh negara seperti lazimnya yang telah kita adakan setiap tahun.

“Jadikan persidangan ini sebagai medan untuk kita bermesyuwarah, bertukar-tukar buah fikiran dalam mencari solusi bagi menjelmakan semula kebangkitan UMNO sebagai sebuah parti yang dominan di tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua ahli agar dapat memperkukuhkan lagi persaudaraan dan sentiasa prihatin dalam hal berhubung kebajikan rakyat.

“Kukuhkan semangat kesatuan ukhuwah sesama kita, selain sentiasa peka dengan denyut nadi akar umbi. Kesejahteraan dan kebajikan rakyat harus sentiasa menjadi keutamaan dalam perjuangan kita membela agama, bangsa dan negara.

“Hidup UMNO! Semoga Allah s.w.t memberkati perjuangan kita. Buat semua perwakilan UMNO di peringkat cawangan, sayap Wanita, pergerakan Pemuda dan Puteri di seluruh negara, selamat bersidang!” ujar beliau.

Terdahulu, persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula semalam dan akan berakhir pada 2 Jun 2024.

Manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.