Persidangan Cawangan Rutin Tahunan Buktikan UMNO Sebuah Parti Berorganisasi – Sharkar
KUALA LUMPUR, 23 April – Persidangan UMNO Cawangan seluruh negara yang bermula semalam merupakan rutin tahunan ahli parti di akar umbi dan inilah sebenarnya kelebihan yang ada pada parti berkenaan sejak sekian lama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata rutin tersebut memperlihatkan UMNO adalah parti berstruktur dan lengkap organisasinya daripada atas hinggalah ke peringkat bawah.
Menurut beliau itulah platform akar umbi untuk masing-masing menyatakan pandangan dan menyatakan isi hati dalam usaha memperkasakan lagi UMNO yang saban tahun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Apatah lagi pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dengan pelbagai isu-isu semasa dan juga dengan pelbagai langkah telah diambil, maka inilah masanya untuk masing-masing menyatakan pandangan mereka.
“Tanpa akar umbi dan tanpa pendukung serta mereka yang mendukung daripada bawah dan pelbagai peringkat lain, mustahil UMNO akan dapat terus mengorak langkah ke depan sebagai sebuah parti yang menaungi orang-orang Melayu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Kata beliau lagi kesempatan persidangan cawangan adalah satu ruang yang terbuka luas dan janganlah masing-masing melihat dan memandangnya secara remeh.
“Apa-apa pandangan tentunya akan dibawa keperingkat bahagian dan keperingkat seterusnya untuk diambil perhatian oleh pimpinan parti dalam usaha memperkasakan lagi UMNO yang hari ini sebahagian daripada Kerajan Perpaduan.
“Tentunya pelbagai cabaran dan akan ada badai yang di depan… inilah masanya untuk kita seluruh ahli parti mengembleng tenaga dan usaha bagi memastikan parti terus relevan serta terus mendapat kepercayaan masyarakat,” ujarnya lagi.- UMNO Online