Nahas Helikopter TUDM: Ahmad Zahid Zahir Dukacita, Ucap Takziah

KUALA LUMPUR, 23 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan dukacita dan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa nahas helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia yang berlaku pada pagi tadi.

Jelasnya, sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebuah helikopter FENNEC TLDM itu terhempas ketika upacara raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Lumut.

“Hari ini seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita sedih nahas sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM yang terhempas semasa melakukan raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM, Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

“Saya ingin menzahirkan perasaan dukacita di atas insiden yang berlaku, pastinya peristiwa ini bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga mangsa, tetapi juga turut menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya mengucapkan takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan untuk mengenalpasti punca kejadian dan beliau menasihatkan orang ramai tidak menularkan video kejadian.

“TLDM juga telah menyatakan bahawa satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan untuk mengenalpasti punca kejadian. Oleh itu saya mengharapkan agar orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga serta dapat mengganggu proses penyiasatan.

“Saya ingin zahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua perwira negara yang terlibat di dalam nahas ini. Segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan untuk melindungi kedaulatan tanah air pastinya akan terus dikenang. Semoga segala urusan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya.

Untuk rekod, kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara.

Pesawat HOM (M503-3) yang membawa tujuh kru terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.