KL20 Medan Jadikan Malaysia Pusat Industri Terkemuka – Zambry

KUALA LUMPUR, 23 April – Sidang Kemuncak KL20 (KL20) 2024 merupakan sebuah medan menjadikan Malaysia sebagai pusat kepada industri terkemuka dunia seperti semikonduktor, tenaga, pertanian dan kewangan Islam yang mempunyai kepakaran domain serta peluang besar untuk inovasi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah hadir dan memberi sokongan kepada KL20 yang merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam dimensi dunia baharu teknologi, digital dan ekonomi.

“Ramai yang bercakap tentang KL20. Ditambah pula dengan keterujaan melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Sidang Kemuncak KL20 2024 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dan turut dihadiri lebih daripada 3000 orang dari pelbagai latar belakang.

“Saya turut hadir bagi melihat dan memberi sokongan kepada KL20 yang merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam dimensi dunia baharu teknologi, digital dan ekonomi. Saya berkongsi secara ringkas dengan rakyat Malaysia tentang KL20.

“Bahasa mudahnya ialah KL20 merupakan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai kelompok antara 20 negara teratas global bagi syarikat pemula niaga pada tahun 2030,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, ini adalah antara pelan strategik Kerajaan Perpaduan melalui Kertas Tindakan KL 20 yang mengandungi inisiatif pembaharuan ketara bagi memacu sektor teknologi pemula Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“KL20 juga sebagai medan menjadikan Malaysia sebagai pusat kepada industri terkemuka dunia, seperti semikonduktor, tenaga, pertanian dan kewangan Islam, yang mempunyai kepakaran domain dan peluang besar untuk inovasi. Antara lainnya, tahun 2030 nanti kita akan melihat Malaysia dalam kelompok 20 negara terbaik di dunia dalam bidang-bidang tersenarai.

“Inilah antara pelan strategik Kerajaan Perpaduan melalui Kertas Tindakan KL20 yang turut dirasmikan, iaitu sebuah pelan hala tuju secara menyeluruh yang mengandungi inisiatif pembaharuan ketara bagi memacu sektor teknologi pemula Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut optimis dengan kemampuan Malayia menjadi sebuah negara maju, berinovasi dan mampu mencipta lebih banyak peluang.

“Melihat kepada perancangan jangka panjang ini, saya sendiri optimis dengan kemampuan Malaysia mencapai sebuah negara maju, berinovasi, mampu mencipta lebih banyak peluang dan ruang pemain industri tempatan dan pelabur luar serta yang lebih penting ramai bakat kemahiran baharu dalam pelbagai bidang menjelang tahun 2030.

“Secara tidak langsung, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memainkan peranan dalam merencana segala pelan tindakan ini nanti agar generasi akan datang memenuhi aspirasi KL20,” katanya lagi.

Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula semalam menandakan detik penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030 dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama syarikat berkenaan dan pemodal teroka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.