Khaled Yakin Jentera UMNO Hulu Selangor Bersedia Hadapi PRK Kuala Kubu Baharu

KUALA LUMPUR, 23 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin jentera UMNO Bahagian Hulu Selangor sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Dalam satu hantaran di laman X, pada petang Isnin selepas lawatan kerja kementerian, Khaled berpeluang ke Pejabat UMNO Bahagian Hulu Selangor mengadakan pertemuan bersama pimpinan Bahagian bagi meninjau persiapan dan kesiagaan jentera UMNO menjelang PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Bahagian, Datuk Mohd Isa (Mohd Isa Abu Kasim) dan pimpinan Bahagian atas pertemuan itu tadi.

“Saya yakin jentera UMNO Bahagian Hulu Selangor sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya DUN yang sudah tidak lama lagi,” kata Khaled yang juga Menteri Pertahanan.

Tambah Khaled lagi, sebagaimana pilihan raya sebelum ini, UMNO berpegang teguh pada komitmen untuk mendukung mana-mana calon Kerajaan Perpaduan dan sentiasa konsisten memainkan peranannya sebagai parti yang menjuarai bangsa Melayu dalam Kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian awal pada 7 Mei.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Berhubung dengan Persidangan UMNO Cawangan yang bermula semalam, dalam satu perkongsian terdahulu Khaled berkata persidangan yang diadakan setiap tahun ini penting untuk ahli-ahli UMNO di peringkat Cawangan menzahirkan pandangan dan mengukuhkan lagi kesatuan.

“Penyertaan semua ahli cukup penting bagi kita bersama-sama mengatur gerak langkah-langkah ke hadapan mendekati para pengundi, mengukuhkan kestabilan politik dan seterusnya menjaga kesejahteraan rakyat.

“Sama-sama kita rapatkan barisan dan kekal konsisten dalam perjuangan kita, di semua peringkat.

“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita demi agama, bangsa dan tanah air. Kepada semua wakil Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, selamat bersidang,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.