Kerajaan Negeri Johor Komited Lahirkan Dan Pupuk Bakat Kepimpinan Generasi Muda

KUALA LUMPUR, 23 April – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk memupuk bakat kepimpinan serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

Dalam satu perkongsian di laman sosialnya, Onn Hafiz berkata ia juga selari dengan Teras Keenam Orang Muda Johor di bawah Agenda Maju Johor.

“Syukur Alhamdulillah. Saya berpeluang merasmikan pelancaran Johor International Student Leaders Conference (JISLC) 2024, Program Karakter Murid Johor (KrMJ) dan Program Silang Budaya Negeri Johor.

“JISLC merupakan program yang dianjurkan oleh Ahli Majlis Pemimpin Pelajar Johor (JSLC). Ia adalah platform terbaik untuk melatih diri para pelajar untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber, membentuk para pelajar yang lebih berketerampilan serta berdaya saing,” kata Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Selanjutnya, Onn Hafiz juga mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Johor Student Leaders Council (JSLC) Kohort 12 yang berjaya menganjurkan persidangan ini.

“Di kesempatan yang ada, saya turut berpesan bahawa untuk menggapai impian, kita perlu pasakkan tekad untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh selain meningkatkan kualiti serta kemahiran dalam diri masing-masing.

“Bagi Program Karakter Murid Johor (KrMJ) pula, ia merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor ke arah memperkasa karakter 588,762 orang murid Johor bagi mempunyai identiti terserlah, sahsiah terpuji, dan dipandang tinggi di mana pelaksanaan ini bakal melibatkan 1,193 buah sekolah,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama di majlis sama, Onn Hafiz turut melancarkan Program Silang Budaya Negeri Johor.

“Menerusi Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM500 ribu untuk program ini.

“Pelaksanaan program ini penting bagi memperkasa dan memupuk semangat perpaduan Bangsa Johor dengan menggalakkan interaksi antara pelbagai etnik yang tinggal di Johor termasuk Melayu, Cina, India, dan etnik-etnik lain.

“Saya amat berharap segala usaha baik yang dilaksanakan ini mampu memberikan satu nilai tambah dan pengetahuan baharu kepada setiap peserta. Semoga anak muda Johor akan cemerlang dan kembali berbakti kepada negeri yang kita sayangi ini satu hari nanti. Insya-Allah,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Raven Kumar a/l Krishnasamy.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad; Pegawai Daerah Johor Bahru Muzaldin Mohamed; Focul Person Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta Kebangsaan Datuk Yahya; Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan; serta guru-guru pengiring. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.