Ziarah Kasih Noraini Sempena Syawal, Marhaban Raya Menggamit Silaturahim Wanita Johor

KUALA LUMPUR, 22 April – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meneruskan ziarah dari rumah ke rumah bagi mengeratkan silaturahim sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menziarahi kediaman beberapa kepimpinan Wanita UMNO di Johor, ia turut sama menyaksikan Marhaban raya yang sinonim diamalkan oleh penduduk di negeri ini.

“Saya bersama Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong menziarah dan bermarhaban ke rumah Ketua Wanita UMNO Bahagian-bahagian di Johor. Kami bergerak menggunakan dua buah van iaitu van Skuad Sayang dan van Pusat Khidmat.

“Destinasi pertama adalah ke rumah , Ketua PEWARIS Kebangsaan, Zarina Bain yang juga merupakan Setiausaha Wanita UMNO Negeri Johor dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai. Setibanya kami di sana, kami disambut oleh Zarina, Puan Asiah, YB Khairin, YB Linda dan Anim.

“Kami kemudian ke rumah Ketua Wanita UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Zainab Othman. Terima kasih kerana sudi menerima kehadiran rombongan kami datang beraya ke rumah walaupun dimaklumkan akan ada mesyuarat berkelompok yang perlu dihadiri.

“Dari Johor Bahru, kami ke Kulai pula untuk beraya di rumah Ketua Wanita UMNO Bahagian Kulai, Nurul Nadia Abd Azis. Sampai saja di rumah Nadia, ramai yang sedang menunggu. Ketua Wanita UMNO Cawangan-cawangan pun ada bersama. Fuh! Meriah. Terima kasih atas sambutan yang begitu meriah sekali. Seronok sesekali berkumpul ramai-ramai begini. Ini barulah raya!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dan rombongan seterusnya ke Pontian bagi menziarahi Ketua Wanita UMNO Bahagian, Hasrunizah Hassan, ia turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut sama berkesempatan menerusi jentera Wanita.

Noraini kemudiannya ke Kluang sebelum mengakhiri ziarah kasih sempena Syawal.

Dalam pada itu beliau meluahkan penghargaan atas penerimaan rombongan beliau ke beberapa rumah tersebut, dengan hidangan jamuan raya yang begitu menggamit kemeriahan bulan mulia ini.

“Hari dah beransur petang. Sebelum ahli rombongan bertolak pulang ke rumah masing-masing, kami singgah beraya ke rumah Datuk Sharifah Azizah Dato Syed Zain, ADUN Mahkota merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang.

“Penuh hidangan kuih raya Tok Pah Zizah hidangkan pada kami. Sedap-sedap semuanya. Habis diet hari ni. Adoi! Tapi paling best dapat duit Raya.

“Semua ahli rombongan pun seronok. Kata orang, kenyang perut, suka hati,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.