UMNO/BN Akan Dominan Semula… Ikhlas Dalam Perjuangan, Bekerja Bersungguh-Sungguh – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 April – UMNO/Barisan Nasional (BN) akan menjadi dominan semula dan ia perlu disusuli dengan keikhlasan dalam perjuangan serta bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berkeyakinan bahawa UMNO/BN Selangor akan terus diberi nafas baharu untuk menentukan Kerajaan Perpaduan terus diperkukuhkan di negeri itu.

“Saya yakin UMNO/BN Selangor akan terus diberikan nafas baharu untuk menentukan bahawa Kerajaan Perpaduan terus diperkukuhkan di negeri ini.

“Apabila saya diberikan amanah oleh perwakilan untuk memimpin UMNO/BN, saya berazam untuk menentukan bahawa parti ini akan menjadi kerajaan semula dan ini terbukti telah berlaku.

“Saya selalu ingatkan diri saya… untuk mempertahankan kejayaan itu lebih sukar. 22 bulan kita jadi pembangkang, kemudian membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN). Ertinya, kita dah ada pengalaman sebagai pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor, pada Ahad.

Menurutnya, UMNO/BN wajib mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan mengenepikan segala perbezaan yang wujud demi membentuk keharmonian dalam pentadbiran.

“Oleh sebab itu, apabila kita berada dalam kerajaan, kita wajib mempertahankannya. Perbezaan sedikit-sedikit itu perkara biasa. Kalau kita nak menang, buat cara nak menang.

“Sekarang ini mungkin kita ‘melukut di tepi gantang’. Mungkin kita agak terpinggir. Tetapi, ini bukan penghujung usia politik kita. Sebenarnya kita sedang diuji. Daya tahan harus ada pada kita dan Insya-Allah di Hulu Selangor ini UMNO akan kembali gemilang.

“Syaratnya, kita harus muhasabah. Apa yang telah kita lakukan? Mungkin Allah uji kita disebabkan kita lupa segala kelemahan dan kekuasaan itu sementara sahaja,” katanya lagi.

Jelasnya, untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, UMNO/BN perlu belajar menghormati rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya masih ingatkan diri saya bahawa jawatan yang dipegang ini boleh tercabut pada bila-bila masa sahaja. Jadi untuk PRK Kuala Kubu Bharu ini, kita harus belajar menghormati rakan-rakan lain di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya lihat tiada masalah di peringkat nasional. Kalau nak berkawan, buat cara berkawan. Walaupun jumlah kita sedikit, lihatlah pengiktirafan Perdana Menteri terhadap kita. Pada peringkat awal mungkin terdapat beberapa kekurangan.

“Oleh sebab itusaya yakin di Hulu Selangor ini kita kena bekerja kuat dengan kebijaksanaan. Jadi dalam keadaan serba kekurangan, memang kita ‘melukut di tepi gantang’ tetapi belajarlah daripada pengalaman.

“Saya harapkan di Kuala Kubu Bharu pada 27 April ini, calon kita adalah dari Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor. Siapa pun yang bakal ditentukan, kita belajar menerima hakikat bahawa kerusi itu adalah kepunyaan mereka. Kita kena hormat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar seluruh kepimpinan dan ahli mempunyai daya tahan kuat untuk menghadapi ujian politik yang sedang dilalui.

“Kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan di Selangor dan pusat. Tetapi yakinlah UMNO/BN akan dominan semula kalau kita ikhlas dalam perjuangan dan bekerja bersungguh-sungguh. Kita sedang diuji dan mesti ada daya tahan untuk hadapinya.

“Saya yakin kita boleh. Yakinlah UMNO/BN akan muncul semula sebagai parti dominan dalam kerajaan. Tetapi, kita perlu yakinkan diri kita dahulu sebelum meyakinkan orang lain.

“Insya-Allah pada 27 April nanti pada hari penamaan calon, saya sendiri akan turun untuk mengiringi calon tersebut. Siapa pun calonnya, orang itulah yang akan saya dan parti sokong,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain, Ketua-Ketua UMNO Bahagian Negeri Selangor dan seluruh kepimpinan sayap empat peringkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.