Titah Adendum: UMNO Lahad Datu, 539 Cawangan Sokong Penuh Afidavit Difailkan Presiden Parti

LAHAD DATU, 22 April – Keluarga besar UMNO Bahagian Lahad Datu yang melibatkan sebanyak 539 Cawangan, dengan keahlian 51,777 orang, sebulat suara menyokong penuh afidavit yang difailkan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi sebagai saksi kritikal berkaitan Datuk Seri Najib Razak.

Demikian tegas ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul kepada UMNO Online berkaitan hal terbabit.

Ujarnya, Presiden UMNO selaku saksi kritikal yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah bukti perjuangan yang tidak pernah selesai.

“Inilah keluarga besar UMNO yang saling mendukung dan menyokong malah apa yang dilakukan oleh Datuk Ser Dr Ahmad Zahid membuktikan bahawa UMNO tidak penah berhenti melakukan pembelaan kepada Datuk Seri Najib.

“Inilah kesetiaan dan kesungguhan dalam perjuangan UMNO yang menjadi legasi dan sandaran untuk anggota parti jadikan tauladan bahawa usaha tidak pernah berhenti dan marilah kita sama-sama terus berdoa,” katanya lagi.

Dilaporkan, ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Ahmad Zahid.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau berkata, dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO itu di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Sharif Musa berharap anggota UMNO di akar umbi yang akan memulakan persidangan peringkat Cawangan akan menggunakan peluang yang ada bagi memperkukuh parti.

Katanya, mesyuarat Cawangan UMNO adalah landasan terbaik bagi menyuarakan pendapat untuk dibawa ke peringkat bahagian dan diajukan kepada kepimpinan pusat.
“Apa yang penting adalah UMNO ialah landasan perjuangan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara terus kukuh dan kita sebagai ahli perlu terus bersatu padu sebagaimana cogan katanya, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.”

Persidangan cawangan UMNO bermula hari ini hingga 2 Jun manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian berlangsung pada 21 Jun hingga 29 Julai diikuti Perhimpunan Agung UMNO 2024 dari 21 hingga 24 Ogos depan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.