Mesyuarat Cawangan UMNO: Ahmad Zahid Harap Perwakilan Bersidang Sebaiknya

HULU SELANGOR, 22 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap agar para perwakilan bersidang sebaiknya dan sentiasa berusaha untuk mengembalikan UMNO sebagai kuasa dominan satu hari nanti.

“Oleh kerana hari ini perasmian mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan, saya ucapkan selamat bersidang. Bersidanglah sebaiknya, kita ketepikan segala perbezaan bagi mengembalikan semula kekuatan UMNO.

“Kita mesti sentiasa berusaha dan yakin bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) akan kembali menjadi dominan untuk mentadbir kerajaan maka usaha berterusan mestilah dilakukan daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor, pada Ahad.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain; Ketua-Ketua UMNO Bahagian Negeri Selangor dan seluruh kepimpinan sayap empat peringkat.

Untuk rekod, persidangan cawangan UMNO seluruh negara akan diadakan bermula 22 April 2024 sehingga 2 Jun 2024 manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.