Mesyuarat Cawangan Ruang Kukuhkan Kesetiaan Demi Perjuangan UMNO Sabah – Jeffery Nor

PUTATAN, 22 April – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed menyambut baik pesanan dalam ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah menyempurnakan Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Putatan, Sabah, pada Jumaat lalu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata ucapan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi inspirasi kepada anggota akar umbi yang akan memulakan mesyuarat cawangan parti.

“Presiden telah mengimbas kembali ujian demi ujian UMNO Sabah telah lalui namun apa yang pasti tiap ujian ini tidak pernah melunturkan semangat perjuangan masing-masing malah terus yakin bahawa UMNO akan terus jadi parti sandaran rakyat untuk memajukan negeri dan membela kebajikan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kedatangan Ahmad Zahid telah memberi semangat kepada anggota parti apatah lagi ketegasannya menolak dakwaan negatif termasuk menekankan bahawa UMNO bukan sebuah parti Malaya sebaliknya ia adalah sebuah parti kebangsaan yang memperjuangkan nasib rakyat seluruh negara termasuk di Sabah.

“Rakyat Sabah dan UMNO telah diuji mendepani pelbagai keadaan sukar tetapi kita mampu menghadapinya kerana kesepaduan yang mengikat kita hingga kini.”

Lantaran itu Jeffery Nor berharap agar seluruh ahli parti dapat menggunakan ruang dalam mesyuarat cawangan UMNO untuk terus istiqamah dan bersama-sama dalam satu saf perjuangan demi masa hadapan rakyat dan negara.

“Marilah bersama-sama memperkukuh tekad kita untuk terus berjuang dan memastikan UMNO sentiasa relevan di negeri bertuah ini. Saya amat yakin bahawa rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada kita semula,” katanya lagi.

Mesyuarat Cawangan UMNO dijadual bermula hari ini, 22 April hingga 2 Jun depan di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Ini akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.