Isu Titah Adendum Perlu Diselesaikan Segera – Ahmad Bashah

KUALA LUMPUR, 22 April – UMNO Bahagian Alor Setar berpendapat bahawa isu Titah Adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu diselesaikan segera agar tatakelola kerajaan selari dengan perlembagaan.

Ketuanya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO Bahagian Alor Setar menyokong penuh tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan Afidavit Tambahan No.3 berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“UMNO Alor Setar sangat mengambil serius mengenai perkembangan terbaru dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak mengenai Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“UMNO Bahagian Alor Setar juga melakar sokongan penuh tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan Afidavit Tambahan No.3 berhubung Titah AdendumYang di-Pertuan Agong ke-16, membolehkan Datuk Seri Mohd Najib Razak menjalani baki hukuman beliau di rumah.

“Kami merayu agar permohonan petisyen Datuk Seri Najib berkenaan kewujudan Titah Adendum tersebut diputuskan segera oleh pihak mahkamah secara adil, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa perkara ini perlu dijelaskan secara tuntas oleh kerajaan agar ia tidak mencemarkan imej Yang di-Pertuan Agong yang memiliki hak pregoratif.

“Perkara seserius ini juga perlu diberi keutamaan dan penjelasan penuh oleh pihak kerajaan diperlukan agar ia tidak mencemarkan imej dan titah Yang Di-Pertuan Agong yang memiliki hak prerogatif seperti yang diperuntukkan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

”Justeru, UMNO Bahagian Alor Setar ingin menegaskan bahawa isu ini perlu diselesaikan segera oleh pihak berkenaan agar urus tadbir dan tatakelola kerajaan selari dengan perlembagaan. Keputusan mahkamah juga perlu disegerakan supaya keadilan buat Datuk Seri Najib dapat ditegakkan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Pada 17 April lalu media melaporkan, ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titah Adendum itu menitahkan supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.