Cawangan UMNO Kekuatan Rangkaian Kepimpinan Sehingga Ke Peringkat Akar Umbi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata persidangan di peringkat cawangan adalah bukti UMNO mempunyai struktur yang mantap dan mempunyai kekuatan serta rangkaian sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ianya wajar dimanfaatkan untuk dijadikan wadah menyuntik nilai kebersamaan dan menjunjung prinsip kesetiaan terhadap perjuangan.

“Ambillah ruang dan peluang untuk berbincang mengenai apa juga isu-isu dengan penuh rasional dan berhikmah.

“Santunilah ahli dan dekatilah para pengundi agar mereka yakin bahawa agenda UMNO hanyalah untuk memastikan kestabilan politik negara dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“Hakikatnya, cawangan yang aktif adalah nadi yang akan meneruskan denyutan perjuangan UMNO di bahagian dan di peringkat kebangsaan. Persidangan inilah platform menggarap strategi dan rancangan agar UMNO bersama kita perkuatkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut sama mendoakan agar segala urusan persidangan ini dipermudah dan diberkati Allah SWT bagi memastikan agenda perjuangan parti keramat ini demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Semoga Allah SWT memberkati dan mempermudahkan segala urusan dalam melunaskan perjuangan demi memenuhi tuntutan agama, bangsa dan tanah air yang kita sama cintai ini.

“… kepada semua perwakilan cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri. Selamat bersidang! Inilah masanya untuk memperkukuh perpaduan, memperkasa kesatuan,” ujar beliau.

Terdahulu, persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula hari ini sehingga 2 Jun 2024.

Manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.