BHEUU Sentiasa Terbuka Terima Cadangan, Usaha Perkasa Agenda Reformasi Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 22 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan keterbukaan beliau dalam menerima pandangan pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkasa agenda reformasi negara.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ini termasuk pandangan daripada Majlis Peguam.

Azalina demikian ketika pertemuan beliau bersama Presiden Majlis Peguam, Muhamad Ezri Abdul Wahab di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Putrajaya.

“Saya memaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sentiasa terbuka menerima cadangan daripada Majlis Peguam.

“… di mana kedua-dua pihak boleh bekerjasama dalam agenda reformasi di negara ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azalina dalam pada itu berkata pelbagai isu dibincangkan pada pertemuan tersebut antaranya kerjasama penganjuran persidangan bantuan guaman, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Akta Profesion Undang-undang serta Kajian Empirikal Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Turut dibincangkan pada kunjungan itu adalah isu kebajikan dan pendapatan para peguam di negara ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran dan Ketua Pengarah BHEUU, Zamri Misman. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.