PRK Kuala Kubu Bharu: UMNO Dukung Calon Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

HULU SELANGOR, 21 April – UMNO menghormati kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh rakan komponen dan akan mendukung mana-mana calon atas nama Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berpandangan bahawa sekiranya ada apa-apa kenyataan dikeluarkan, itu adalah pendirian parti masing-masing.

“Prinsip UMNO adalah menghormati kerusi yang telah dimenangi oleh rakan-rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan. Maka keputusan yang dibuat adalah kita akan mendukung mana-mana calon atas nama Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan.

“Dalam hal ini, jika ada permasalahan dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan… saya berpendapat bahawa itu adalah pendirian parti masing-masing. Saya harapkan itu adalah sementara sahaja.

“Jika kenyataan itu keluar kerana kecil hati disebabkan kenyataan rakan-rakan parti komponen lain, saya harap perkara ini dapat diselesaikan bagi menjernihkan kekeruhan,” katanya ketika ditemui para pemberita sejurus selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor.

Tegasnya, segala perbezaan yang terdapat di antara rakan-rakan komponen parti Kerajaan Perpaduan mestilah diselesaikan dengan cara paling terbaik.

“Saya fikir kita harus berada dalam kerajaan harmoni politik kerana kita mahu samada di peringkat negeri atau pusat, perkara-perkara ini hendaklah kita selesaikan bagi mempermudahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan mencari titik persamaan.

“Insya-Allah jika ada perbezaan-perbezaan, pada hemat saya ia akan dapat diselesaikan dengan cara yang paling terbaik,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei 2024 dengan 27 April 2024 sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei 2024 dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April 2024 sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.