Manfaatkan Perlantikan Ahli Majlis Dengan Idea Segar Untuk Masyarakat Setempat – Azleen

KUALA LUMPUR, 20 April – Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berharap pimpinan Pemuda UMNO negeri itu yang dilantik sebagai Ahli Majlis dapat melaksanakan tanggungjawab sebaiknya demi kepentingan masyarakat setempat.

Menurut beliau masing-masing yang mendapat kepercayaan daripada pimpinan bahagian untuk menggalas amanah berkenaan adalah satu harapan yang amat tinggi dan perlu diterjemahkan sebaiknya.

“Tahniah diucapkan kepada semua pimpinan daripada Pemuda UMNO Bahagian dalam Johor yang telah mendapat kepercayaan UMNO Bahagian masing-masing untuk dilantik sebagai Ahli-ahli Majlis di 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri Johor.

“Seramai 21 pemimpin Pemuda UMNO Bahagian yang telah sempurna mengangkat sumpah jawatan baru-baru ini. Manfaatkanlah peluang dan terjemahkan kepercayaan ini untuk menjaga nama baik dan menaikkan imej parti dalam kalangan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi amanah yang digalas perlu dijana sebaiknya untuk merangka dan menggubal serta membantu PBT dalam melicinkan lagi pembelaan terhadap masyarakat setempat.

“Insya Allah saya percaya masing-masing mampu memberikan perkhidmatan terbaik di setiap kawasan serta zon yang diwakili.

Manfaatkan juga peluang sebagai Ahli Majlis untuk menggubal dasar dan peraturan di peringkat kerajaan tempatan dengan idea-idea segar dan saranan-saranan baharu, yang akhirnya memberi manfaat kepada penduduk dan masyarakat setempat.

“Idea segar dan saranan baharu yang mampu memberi penyelesaian terbaik kepada setiap permasalahan penduduk dan rakyat yang akhirnya kita mampu berperanan secara berkesan dan efektif sebagai Ahli Majlis di setiap PBT,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.