Ahmad Zahid Harap Kedatangan Pelabur Asing Dapat Cipta Banyak Peluang Pekerjaan Baharu

BAGAN DATUK, 20 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap dengan kehadiran para pelabur asing di negara ini dapat mencipta banyak peluang pekerjaan baharu di negara ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pihak MARA telah menubuhkan Malaysia-Chinese Institute (MCI) kerana wujudnya tawaran daripada Institusi TVET dan Pendidikan Teknikal China.

“Pihak MARA telah menubuhkan MCI iaitu TVET yang menyerupai GMI (German-Malaysia Institute). Ia diwujudkan kerana tawaran daripada Institusi TVET dan Pendidikan Teknikal di China maka saya telah mengadakan perbincangan, mengarahkan Pengerusi MARA supaya Giatmara Bagan Datuk ini dinaiktaraf untuk melatih pelajar-pelajar TVET kita sebelum dihantar ke China.

“Antara kursus yang akan ditawarkan adalah kursus untuk memperbaiki dan juga melakukan penyelenggaraan terhadap kereta-kereta elektrik atau EV serta ‘hidrogen vehicle’. Maka atas persetujuan pengerusi MARA dan Giatmara, kita akan membantu agar kawasan tersebut diperluaskan kepada 60 ekar, menjadikan Giatmara Bagan Datuk sebagai kampus MCI.

“Saya harap bukan hanya orang Bagan Datuk yang akan mendapat faedah walaupun keutamaanya Insya-Allah untuk generasi baharu Bagan Datuk. Ianya terbuka untuk seluruh rakyat Malaysia tidak mengira kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Parlimen Bagan Datuk, pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan mahu membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat agar tenaga kerja baharu yang berlandaskan teknologi tinggi dapat diwujudkan.

“Kita mahu membukanya seluas-luas peluang TVET ini dengan harapan tenaga kerja yang baharu berlandaskan teknologi tinggi terutamanya di dalam bidang baharu termasuk kecerdasan pembuatan (AI) dan teknologi berkaitan kerana permintaan daripada para pelabur asing di Malaysia.

“Minggu lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberitahu bahawa setiap tahun diperlukan 6,000 jurutera dalam pelbagai bidang selain daripada sivil dan mekanikal untuk menjadi tenaga kerja bagi menyokong industri yang berada di Malaysia hasil daripada pelaburan langsung asing (FDI).

“Saya harap dengan ‘game changer’ di negara kita terutamanya apabila pelabur asing telah bercurah-curah datang ke Malaysia maka saya harap peluang-peluang pekerjaan baharu dengan mengurangkan pekerja-pekerja tidak mahir atau kurang mahir yang bergantung dengan pekerja asing,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar seluruh kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Perak menanam azam agar parti itu menjadi dominan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Insya-Allah di bawah kepimpinan Datuk Seri Saarani, dalam PRU akan datang kita hendaklah berazam dan berusaha agar UMNO/BN akan menjadi dominan semula di Negeri Perak ini.

“Saya yakin rakan-rakan kepimpinan akar umbi akan membantu Datuk Seri Saarani dan Insya-Allah Bagan Datuk akan terus membantu kemenangan di sini. Janji kami di Bagan Datuk, kami akan sumbangkan dua kerusi ADUN dan satu kerusi Parlimen ini dalam PRU akan datang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar kestabilan politik dapat diwujudkan dan dokongan akar umbi dapat dikembalikan.

“Saya penuh mengharapkan bahawa dalam tempoh dua tahun setengah kita akan lakukan perubahan dan mewujudkan kestabilan politik. Kembalikan dokongan akar umbi terutama rakyat pelbagai kaum.

“Kita lihat pada malam ini bukan hanya orang Melayu yang memenuhi majlis rumah terbuka pada malam ini. Tetapi kita lihat pelbagai kaum dari seluruh dan luar Bagan Datuk datang ke majlis ini memperlihatkan bahawa tidak ada permasalahan antara kepelbagaian kaum.

“Kita akan pertahankan keharmonian penyatuan dan perpaduan di Bagan Datuk ini untuk memberikan kestabilan politik di Negeri Perak ini. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.