UMNO Lahad Datu Turun Padang Lawat Mangsa Kebakaran, Selami Kesulitan Rakyat

LAHAD DATU, 19 April – Kebersamaan UMNO dalam menyantuni masyarakat diaplikasi setiap masa khususnya apabila ditimpa musibah sebagaimana yang direalitikan Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.

Beliau bersama-sama anggota jawatankuasanya telah melawat keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Sharif di sini, Jamidah Shardek apabila kediamannya musnah akibat hangus dijilat api dalam kejadian baru-baru ini.

Kata Sharif Musa, dalam keadaan yang serba mencabar hari ini termasuklah keadaan ekonomi yang amat menekan maka kesulitan akibat ditimpa musibah kebakaran tentunya amat memeritkan.

“Berat mata memandang maka tentunya lebih berat bahu keluarga ini yang kehilangan tempat berteduh. Tak ada kata yang mampu diucap namun UMNO sedaya upaya sentiasa berusaha bagi membantu meringankan beban yang dihadapi,” katanya kepada UMNO Online.

Selain menzahirkan simpati kepada mangsa terbabit, Sharif Musa turut menyampaikan sumbangan.

“Saya bersimpati dengan musibah yang melanda mereka, moga mereka redha dan bersabar menerima ujian ini dan berharap bantuan yang diberi sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang ada,” katanya.

Turut sama dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Ketua UMNO bahagian, Saleha Abdul Wahid; Naib Ketua, Datin Maizatul Akmam Alawi; Ketua Wanita bahagian, Royanie Rafael serta ahli jawatankuasa bahagian Lahad Datu.

Menerusi program turun padang tersebut, Sharif Musa dan ahli jawatankuasanya turut meredah gelombang ke Kampung Taruakan, Pulau Sakar bagi menziarahi Ketua Cawangan UMNO Kampung Tanjong Sakal, Abdul Muhmin Alipuddin yang kehilangan isteri menjelang Syawal baru-baru ini.

“Kita turun ke mana-mana sebagai tanda kita bersama, saling mendukung dan menyokong terutamanya dalam keadaan yang sebegini. Moga ahli keluarga sabar dan dikuatkan semangat sentiasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharif Musa turut memaklumkan berkenaan sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Lahad Datu yang akan diadakan pada 21 April depan.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan rumah terbuka tersebut.

“Jemputlah hadir beramai-ramai dan sama-sama mengeratkan silaturrahim pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Lahad Datu, 21 April bermula 8.30 pagi hingga 2.00 petang di Dewan Sekolah Kebangsaan Terusan Lahad Datu.”

Katanya, majlis tersebut akan dirasmikan oleh Bendahari UMNO Sabah merangkap ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Keruak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.