Semarakkan Syawal Perkukuh Perpaduan, Eratkan Silaturrahim Demi Teruskan Perjuangan – Jamal Nerubi

PAPAR, 19 April – Kemeriahan Syawal yang masih terus dirasai perlu disemarakkan dengan semangat untuk memperkukuh perpaduan bukan hanya di kalangan ahli-ahli UMNO tetapi juga melibatkan masyarakat secara holistik.

Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi berkata perayaan ini adalah ruang terbaik bagi mengeratkan silaturrahim dan berkumpul beramai-ramai khususnya buat mereka yang telah lama tidak berjumpa lantaran kesibukan dalam melaksanakan tugasan harian.

“Alhamdulillah. Kita raikan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kesyukuran dengan berkumpul bersama-sama ahli keluarga, sanak saudara dan juga rakan-rakan. Inilah ruang dan peluang terbaik kepada kita mengeratkan ikatan silaturrahim dan saling perkukuh persaudaraan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, apa yang lebih penting adalah kebersamaan meraikan hari kemenangan dengan saling mendukung, memberikan kata-kata semangat dan bertanya khabar perkembangan semasa.

“Sebab ini amat penting untuk kita mengaplikasi setiap masa dengan menerapkan ikatan kekeluargaan sebagaimana dalam UMNO yang ibarat satu keluarga besar, kita mengambil keberkatan hari raya ini sebagai peluang meraih kembali ikatan dengan semangat serta tekad baharu.

“Biarpun kita semua faham bahawa politik amat dinamik namun pada hari raya ini kita kembali perkukuh tekad dengan semangat perpaduan yang tinggi untuk sama-sama mendepani apa-apa juga cabaran pada masa hadapan.”

Terdahulu, beliau telah berkesempatan memenuhi rumah terbuka yang diadakan di sekitar kawasan terbabit sejak awal Syawal, antaranya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang yang melibatkan keluarga dari Kadazan Dusun di Kampung Souk Dambai di sini.

“Inilah kesempatan terbaik untuk berkumpul, beramah mesra dan menyemarakkan hari raya dalam suasana harmoni iaitu ikatan yang amat akrab dan sememangnya telah sebati dengan nilai jati diri kita sendiri.

“Perjuangan kita dalam UMNO hari ini bukan hanya untuk memperteguh parti kerana dalam masa yang sama kita mahukan permuafakatan terus dipelihara dengan memastikan kestabilan menjadi tonggak utama lantaran ia menjamin kepada kelangsungan masa hadapan negara yang lebih baik,” katanya.

Dalam hal ini, Jamal menjelaskan bukan hanya kebersamaan meraikan kegembiraan dilaksana malah beliau turut menziarahi ahli keluarga yang ditimpa musibah termasuklah kehilangan ahli keluarga.

Sebelum itu beliau telah menziarahi keluarga Allahyarham Ag Kassim Besar di Kampung Laut Benoni dan Allahyarham Sabardin Dahli di Kampung Pengalat Kecil yang telah meninggal dunia pada penghujung Ramadan lalu.

Kemudiannya beliau menziarahi keluarga Allahyarham Masniah Dabi di Kampung Beringgis yang meninggal dunia pada awal Syawal.

“Salam takziah kepada semua keluarga. Kehilangan ahli keluarga dalam bulan Ramadan dan Syawal tentunya amat terasa namun kita perlu redha dan sabar dengan ketentuan-Nya. Semoga ahli keluarga mereka semua cekal dan dapat meneruskan kehidupan pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.