Manfaatkan Sebaiknya Persidangan Cawangan UMNO, Kukuhkan Organisasi – Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR, 19 April – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berharap Persidangan Tahunan Cawangan Pemuda UMNO seluruh negara yang akan bermula 22 April ini digunakan sebaik mungkin dalam usaha mengukuhkan parti hari ini.

Menurut beliau itulah medannya ruang akar umbi untuk menggunakan peluang yang ada melontarkan segala pandangan dalam usaha memastikan parti khususnya pergerakan itu bukan sahaja berjaya berdepan dengan cabaran malah melangkah dengan labih jauh.

“Menjelang persiapan persidangan cawangan kita yang akan berlangsung pada 22 April ini, saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan selamat bersidang kepada semua rakan-rakan kepimpinan di peringkat cawangan. Kita ambil peluang di persidangan ini untuk kita mengukuhkan organisasi kita di peringkat akar umbi.

“Inilah waktunya untuk kita buktikan selepas setahun penggal yang baharu ini, sama ada peningkatan organisasi ini dapat diperlihatkan ataupun tidak akan dapat kita ukur pada persidangan cawangan pada kali ini.

“Maknanya, kalau berlaku penambahan ataupun dapat dilihat cawangan-cawangan itu dapat bersidang dalam jumlah yang membanggakan, itu menandakan bahawa parti dan akar umbi berada dalam kedudukan yang baik dan kukuh… satu petanda yang ada potensi,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi dengan semangat yang ada hari ini di kalangan seluruh ahli-ahli Pemuda UMNO seluruh negara, platform yang bakal terbuka luas nanti perlu dimanfaatkan sebaiknya berteraskan daya ketahanan dan perjuangan UMNO dulu, kini dan selamanya.

“Jadi bagi Pemuda UMNO seluruh negara, kita ambil peluang ini tunjukkan bahawa orang-orang muda di dalam parti kekal bersemangat tinggi, kekal daya juang dan ketahanan untuk kita terus perjuangkan parti kita. Selamat bersidang,” ujarnya.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memutuskan Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan akan bermula 22 April sehingga 2 Jun nanti manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian 21 Jun hingga 29 Julai dan Perhimpunan Agung UMNO 21 sehingga 24 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.