UMNO Kelantan Pandang Serius Dokumen Afidavit Tambahan, Rakyat Perlu Penjelasan Dari Sudut Undang-undang

KUALA LUMPUR, 18 April – UMNO Kelantan memandang serius berkenaan dengan dokumen Afidavit Tambahan No 3 yang telah ditandatangani oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 9 April 2024.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata perkara ini sangat serius kerana responden akan dilihat mempermainkan Titah Yang di-Pertuan Agong sekaligus menunjukkan contoh tauladan yang tidak baik sebagai sebuah Kerajaan kepada rakyat.

“Kami memandang serius perakuan di dalam Para 5 (b) menyatakan dengan jelas Responden enggan melaksanakan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI yang bersetuju untuk Pemohon (Datuk Seri Najib Razak) dibenarkan untuk menjalani hukumannya dikurangkan kepada ‘Tahanan Rumah’ dan bukannya secara pemenjaraan di Penjara Kajang seperti sekarang,” katanya.

Tegas Ahmad Jazlan, rakyat perlu tahu pendirian dan penjelasan Kerajaan daripada sudut undang-undang serta takrifnya supaya tiada lagi pertikaian oleh semua pihak.

“UMNO Kelantan kekal dengan pendirian YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dengan seikhlasnya kekal memperjuangkan pembelaan sepenuhnya terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak,” katanya lagi.

Dilaporkan, ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Ahmad Zahid.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau berkata, dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO itu di Country Heights, pada 30 Januari lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.