Titah Adendum: Puteri UMNO Sokong Penuh, Sambut Baik Usaha Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 April – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyokong penuh di samping menyambut baik usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk memastikan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak memperoleh keadilan sewajarnya.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, ini jelas menunjukkan komitmen beliau dalam memperjuangkan keadilan buat Najib Razak.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memberi sokongan penuh dan menyambut baik usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi bagi memastikan keadilan buat Datuk Seri Mohd Najib Razak ditegakkan.

“Ini jelas menunjukkan komitmen beliau dalam memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Mohd Najib Razak selama ini. Ia bukanlah retorik semata-mata, apabila beliau memfailkan afidavit berhubung kewujudan dokumen ‘Titah Adendum’ yang memohon agar tempoh baki hukuman penjara Datuk Seri Mohd Najib Razak dijalankan melalui penahanan di rumah.

“Puteri UMNO berharap agar pihak berwajib mengambil pendirian rasmi mengenai Titah Adendum berkenaan. Jika ia wujud, kami sarankan agar titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 dilaksanakan secepat mungkin agar Datuk Seri Najib Razak mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

 

Semalam media melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titah Adendum itu menitahkan supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.