Terima Kasih Atas Nasihat ‘Tidak Ikhlas’, Lebih Baik Fadhli Tumpu Peranan Ahli Parlimen Semak Dan Imbang

KUALA LUMPUR, 18 April – Ketua UMNO Padang Besar, Ruzaini Rais dengan nada sinis mengucapkan terima kasih berhubung nasihat ‘tidak ikhlas’ Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berhubung kenyataannya agar UMNO mendesak Speaker Dewan Rakyat berkaitan pengosongan kerusi enam ahli parlimen Bersatu.

Bagi beliau adalah lebih baik Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberikan tumpuan dan perhatian terhadap perkara yang boleh mendatangkan manfaat untuk rakyat khususnya sebagai semak dan imbang untuk kepentingan negara dan seluruh rakyat.

“Terima kasih atas nasihat yang nampak jelas tidak ikhlas daripada Ketua Penerangan Pas Pusat yang meminta parti UMNO supaya mendesak Speaker Dewan Rakyat agar bertindak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen itu.

“Adalah lebih baik, Ahli Parlimen Pas ini bertindak sebagai semak-imbang yang baik dan mendatangkan idea yang baik untuk kemajuan negara malaysia yang kita cintai ini, daripada terus cuba mencampuri urusan parti UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi kepimpinan parti mempunyai perancangan dan pandangan tersendiri malah mampu membuat keputusan yang terbaik dan tidak memerlukan pandangan yang tidak ikhlas dalam soal ini.

“Kami tidak perlukan penasihat yang tidak pernah ikhlas dalam memberi pandangan. Kepimpinan tertinggi UMNO dan kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu membuat keptusan yang terbaik berkaitan perkara ini.

“Sebagai Ahli Parlimen, beliau seharusnya lebih faham kuasa untuk mengosongkan kerusi-kerusi tersebut adalah dibawah bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat, jadi adalah diharap beliau tak perlu ‘kalut’,” tambahnya.

Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia juga harus ingat sejarah telah tercipta selepas PRU-14 apabila beberapa ahli parlimen telah melompat parti menyokong Bersatu dan pada ketika itu parti berkenaan membentuk kerajaan bersama PH.

“Jadi ini hukum karma kepada Bersatu. Oleh yang demikian, tak perlulah nak  mendesak ahli-ahli parlimen terbabit kosongkan kerusi walaupun ROS meluluskan pindaan Perlembagaan Parti itu. UMNO sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRK tersebut jika benar-benar berlaku kelak,” ujarnya.

Memetik laporan, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkongsikan pandangannya bahawa UMNO berpeluang menang, terutama di kerusi Parlimen yang parti itu kalah tipis sebelum ini, jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang tujuh wakil rakyat daripada BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada pimpinan pihak lawan.

Bagi beliau UMNO dijangka mendapat bantuan undi penyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRK berkenaan dan menjadi tugas UMNO sekarang dalam kerajaan ialah mendesak Speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi-kerusi ini kosong supaya berlaku PRK. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.