RM2 Juta Untuk Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024

IPOH, 18 April – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pada Rabu telah melancarkan Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan bagi mahasiswa anak kelahiran Negeri Perak untuk tahun 2024 di sini.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, inisiatif tersebut disediakan khusus untuk meringankan beban kewangan mahasiswa yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan dan mereka yang menghadapi situasi kecemasan luar jangka sepanjang menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Bantuan Sara Diri disediakan bertujuan membantu menampung perbelanjaan sepanjang pengajian seperti kos kenderaan, sewa rumah, makanan, percetakan bahan pembelajaran dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook.

Katanya, pada tahun 2023, sejumlah RM2 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk program Bantuan Sara Diri dan Bantuan Mahasiswa Perak.

“Sepanjang tahun lalu, ribuan mahasiswa telah menerima manfaat menerusi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa ini.

“Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri masih mengekalkan peruntukan sedia ada sebanyak RM2 juta dan permohonan akan diuruskan oleh Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan,” katanya.

Jelas Saarani lagi, Bantuan Sara Diri dibuka permohonannya dalam dua fasa iaitu yang pertama bermula 17 April 2024 sehingga 17 Mei 2024 dan fasa kedua dijangka bermula bulan Ogos atau September nanti.

Manakala permohonan bagi Bantuan Kecemasan pula akan dibuka sehingga bulan Oktober 2024.

Seterusnya ulasnya lagi, semua mahasiswa anak kelahiran Perak yang berkelayakan dialu-alukan untuk membuat permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak di pautan www.eheyns.com.my dan setiap permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Semoga inisiatif yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Perak ini dapat meringankan beban kewangan mahasiswa daripada golongan kurang berkemampuan agar mereka fokus untuk terus cemerlang dalam pengajian,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.