Kejujuran Ahmad Zahid Bukti UMNO Konsisten Bela Najib, UMNO Terengganu Mohon Titah Adendum Dilaksana


KUALA LUMPUR, 18 April – UMNO Terengganu menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas kejujuran menandatangani Afidavit Tambahan No 3 bagi menyokong petisyen Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung dengan kewujudan Titah Adendum tahanan rumah.

Kata Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat, UMNO Terengganu percaya tindakan Ahmad Zahid membuktikan beliau sentiasa konsisten berusaha dalam pembelaan terhadap Najib yang merupakan seorang bekas pemimpin negara.

“UMNO Terengganu memohon supaya pihak berkuasa melaksanakan Titah Adendum berhubung dengan pengampunan Datuk Seri Najib sesuai dengan proses perundangan negara agar perkara ini tidak menjadi polemik berpanjangan.

“UMNO Terengganu menggesa semua pihak bertenang dan menerima proses yang dibenarkan di bawah kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong seperti mana pengampunan yang pernah diberikan kepada individu-individu lain sebelum ini,” katanya lagi menerusi satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Semalam media melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titah Adendum itu menitahkan supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.