Titah Adendum: Pengesahan Ahmad Zahid Satu Berita Baik, Tidak Sepatutnya Jadi Isu Dan Keraguan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 17 April – ‘Saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, pengesahan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkenaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah adalah satu berita baik dan amat positif.

“Beliau juga menegaskan bahawa titah adendum tersebut turut dilihat dan dalam pengetahuan anggota kerajaan yang lain seperti YM Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan Datuk Seri Wan Rosdy (Menteri Besar Pahang).

“Sehubungan dengan itu, merujuk kenyataan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee pada 17 April, bagi memastikan titah adendum itu dapat dilaksanakan, mahkamah memerlukan identiti ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan DS Najib.”

Antaranya Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Ujar Dr Akmal, melihat kepada senarai tersebut, terdapat dua menteri kabinet yang sepatutnya, tahu dan maklum seperti apa yang telah dinyatakan oleh Ahmad Zahid.

“Oleh demikian tidak sepatutnya menjadi isu atau keraguan bagi mereka untuk memperakuinya seperti diperlukan.

“Melainkan ada niat yang lain. Saya mohon untuk pihak yang bertanggungjawab untuk menjawab kepada persoalan ini,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Dilaporkan, menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau berkata, dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO itu di Country Heights, pada 30 Januari lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.