Kerjasama KPT-WADAH… Permudahcara Penerangan Nilai Perpaduan, Isu Ekstremisme

KUALA LUMPUR, 17 April – Kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (WADAH) mampu untuk mempermudahcarakan pemahaman dan penerangan mengenai nilai perpaduan serta isu ekstremisme.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah dikunjungi oleh WADAH dan mengadakan perbincangan termasuklah mengenai isu ketegangan serta konflik di Asia Barat.

“Saya telah dikunjungi oleh sahabat-sahabat saya daripada WADAH yang merupakan sebuah badan penggerak kepada aktiviti kemasyarakatan, pendidikan dan pelbagai lagi. Dalam pertemuan ini, beberapa perkara dibincangkan termasuklah mengenai isu semasa iaitu ketegangan dan konflik di Timur Tengah.

“Keadaan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk menjadi hub tumpuan kepada sektor pendidikan tinggi bagi menarik para pelajar dan pengajar berpotensi dari negara ‘war-torn’ untuk datang dan berada di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan bahawa perbincangan turut menjurus kepada menghasilkan ilmuwan untuk meneruskan kepimpinan masa depan negara.

“Perbincangan turut menjurus kepada menghasilkan ilmuwan dan pensyarah muda negara yang mampu untuk meneruskan legasi kepimpinan masa depan negara yang lebih baik dalam pelbagai bidang. Oleh yang demikian, latihan dan kursus bersesuaian perlu dilakukan dan WADAH ingin berkolaborasi dengan KPT serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara.

“Ada beberapa cadangan lain turut dikemukakan. Saya merasakan kerjasama antara KPT dan WADAH boleh juga melibatkan pemahaman serta penerangan mengenai nilai perpaduan, isu ekstrimism dalam sesuatu hal berbangkit yang boleh dipermudahcarakan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.