Kerajaan Perpaduan Pandang Serius Tindakan Main Sentimen Rakyat, Pertahan Politik Kesederhanaan

KUALA LUMPUR, 17 April – Kerajaan Perpaduan memandang serius tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan yang mampu mengancam keharmonian negara dan kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang berlangsung hari ini telah mengadakan perbincangan dan membuat beberapa ketetapan.

Katanya, mesyuarat sepakat agar Kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini.

“Semua parti Kerajaan Perpaduan Malaysia bersepakat akan terus mempertahankan orientasi dan pendekatan ‘Politik Kesederhanaan’ sebagai asas kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum.

“Dengan pendekatan kesederhaan bagi menjamin kestabilan, Kerajaan Perpaduan akan dapat memberikan tumpuan terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat terutamanya bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, mesyuarat juga turut membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Kuala Kubu Bharu.

“Mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi bagi menamakan calon yang akan mewakili parti-parti Kerajaan Perpaduan.

“Penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia akan dipengerusikan bersama oleh YB Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan YB Tuan Steven Sim,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.