Banjir Kilat: KM Melaka Arah Semua Agensi Bersiap Siaga, Beri Bantuan Secepat Mungkin

KUALA LUMPUR, 17 April – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah mengarahkan semua agensi untuk bersiap siaga bagi memberikan bantuan secepat mungkin kepada mangsa yang terlibat dalam musibah banjir di negeri itu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menzahirkan dukacita di atas bencana banjir kilat yang telah melanda beberapa kawasan.

“Saya amat berdukacita dengan situasi bencana banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini sejak kelmarin.

“Petang semalam saya dimaklumkan situasi sama turut melanda di Daerah Alor Gajah membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Taboh Naning, Lendu dan Ayer Limau. Ia meliputi kawasan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubuk China, Kampung Sungai Jernih dan Taman Masjid Tanah Ria,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Lendu kerana telah menyediakan bantuan awal berbentuk makanan kepada mangsa terjejas.

“Malam semalam juga, saya turut mewakilkan Setiausaha Politik saya, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk turun padang menyantuni penduduk serta menyalurkan bantuan awal terhadap mangsa yang terjejas di Taman Masjid Tanah Ria.

“Kerajaan negeri berharap agar semua mangsa banjir terus tabah dengan ujian yang berlaku. Saya sendiri sudah mengarahkan setiap wakil rakyat dan semua agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pejabat daerah untuk terus bersiap siaga, selain memberikan bantuan secepat mungkin terhadap mangsa terjejas.

“Terima kasih juga diucapkan atas bantuan awal berbentuk makanan kepada mangsa-mangsa banjir oleh JAPERUN Lendu yang telah disalurkan,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan banjir kilat yang melanda Alor Gajah selepas hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), dibuka bagi menempatkan 51 mangsa setakat 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata mangsa terlibat terdiri daripada 13 keluarga dari sembilan kampung di daerah itu, ditempatkan di Balai Raya Balik Balai yang dibuka pada 9 malam semalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.