Ada Cubaan Menakut-Nakutkan Ahli UMNO, Tapi Parti Tetap Relevan – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 17 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin menyelar segelintir pihak yang mengatakan parti ini hidup kerana diberikan nafas kedua dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, perkara ini tidak benar sama sekali ia hanya propaganda serta mahu menakut-nakutkan ahli UMNO serta penyokong-penyokongnya.

Menurutnya, permuafakatan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini ternyata jelas bahawa UMNO masih lagi relevan walaupun pelbagai tohmahan diberikan semata-mata mahu menjatuhkan parti ini.

“Ini semuanya tak benar… hanyalah propaganda yang sering dimainkan oleh mereka. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, walaupun UMNO/BN hanya memperolehi 30 kerusi dan jelas parti ini masih lagi relevan dalam pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini.

“Tidak benar sekiranya mengatakan UMNO telah diberikan nafas kedua… tidak. ‘This is not a fact’ UMNO masih lagi menyumbang kepada pembentukan negara dan kerajaan yang penting hari ini. Dengan keadaan sekarang harus ambil peluang untuk memantapkan lagi parti kita disemua peringkat pusat, negeri, bahagian hingga sampai ke cawangan, kita mantapkan kembali UMNO.

“UMNO memainkan peranan yang cukup besar demi kesejahteraan rakyat. Insya-Allah… apabila kita bersatu padu, kita mampu bergerak dengan lebih hebat dalam PRU akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah antara bukti Presiden UMNO ingin terus memperkasakan golongan bumiputera.

“KEB 2024 mempunyai satu agenda besar yang perlu dijayakan bersama dengan semangat kebangsaan yang ada apatahlagi melibatkan bumiputera. Bukan hanya orang Melayu tapi ia juga melibatkan bumiputera di Sabah dan Sarawak termasuk dalam ekonomi digital.

“Kita melihat sebuah agenda ekonomi bumiputera benar-benar berjaya dan harus bergerak bersama-sama memantapkan lagi ekonomi melayu bumiputera,” jelas beliau.

Terdahulu KEB 2024 yang diadakan pada bulan lalu telah menggariskan 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera.

Resolusi itu diperoleh daripada hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres berkenaan.

Hasil dapatan kongres itu bukan menjadi titik akhir penyelesaian segala permasalahan Bumiputera, sebaliknya ia menjadi langkah yang perlu diambil kerajaan walaupun jalannya panjang, sukar serta berliku. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.