Usaha Kukuhkan Ekonomi: MITI Giat Tarik, Galakkan Pelaburan Tambahan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 16 April – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sedang berusaha untuk menarik pelaburan baharu di samping menggalakkan pelaburan tambahan dari pelabur sedia ada dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia merupakan salah satu pemain utama dalam sektor semikonduktor atau mikrocip global.

“Mungkin anda pernah terbaca artikel dari media antarabangsa seperti Financial Times dan New York Times yang mengangkat Malaysia sebagai salah satu pemain utama dalam sektor semikonduktor atau mikrocip global.

“Dalam usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia, MITI bukan sahaja berusaha menarik pelaburan baru, malah menggalakkan pelaburan tambahan dari pelabur sedia ada,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, beliau menyokong usaha syarikat-syarikat yang berhasrat untuk meluaskan pelaburan mereka di negara ini seperti Syarikat Micron.

“Hari ini saya bertemu dengan delegasi Micron. Micron kini beroperasi di dua lokasi di Malaysia iaitu di Muar dan Penang, dengan lebih daripada 5,000 pekerja tempatan.

“MITI komited menyokong usaha syarikat-syarikat seperti Micron untuk meluaskan kehadiran mereka di negara ini,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.