Terima Kasih Kerajaan Perpaduan, Bantuan Realitikan Hasrat Rakyat Untuk Kehidupan Lebih Baik – Mohd Rafi

LABUAN, 16 April – Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menzahirkan ucapan penghargaan dan berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayan (KKDW) yang telah merealitikan hasrat penduduk setempat.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan bahawa beliau telah mengunjungi tiga buah keluarga bagi menyampaikan berita gembira iaitu bantuan bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada keluarga terbabit.

“Saya berkunjung ke tiga buah keluarga yang sangat memerlukan bantuan untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT yang baru selepas mereka ditimpa musibah baru-baru ini. Dua buah keluarga ditimpa kebakaran dan satu keluarga mendiami rumah yang sangat usang.

“Syukur Alhamdulillah, suara yang saya angkat kepada kerajaan melalui KKDW tahun lepas telah mendapat berita gembira apabila mendapat kelulusan pada Jumaat lepas. Saya telah berkunjung semula dan memaklumkan berita gembira untuk mereka juga,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebooknya.

Ujar beliau, selaku pemimpin tidak ada perkara yang menggembirakan dan memberi kepuasan selain dapat membantu masyarakat yang memerlukan dan menyelesaikan masalah kehidupan mereka.

“Bagi pihak tuan rumah dan warga Labuan saya ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan khususnya YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri KKDW yang telah membantu dan memberi kelulusan kepada permohonan kami,” katanya lagi.

PPRT merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar yang menyediakan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa dan seterusnya memastikan kumpulan sasar ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.