‘Siapa Pun Pemimpin Kita, Angkat Doa Supaya Turun Rahmat Kepada Semua’ – Azhar

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad membidas tindakan pemimpin muda Pas yang bertindak mendedahkan bahawa tidak mahu menadah tangan ketika doa dibacakan untuk sultan dan Agong ketika solat Jumaat.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara itu berkata ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menggalakkan untuk umat Islam berdoa kepada sesama saudara muslim termasuk kepada pemimpin negara.

“Inilah ego mereka, menghina sultan seolah-olah doa diterima oleh Allah. Allah pun tak terima kalau doa mereka tak ikhlas. Siapa pun pemimpin kita, angkat doa supaya turun rahmat kepada kita semua.

“Pemimpin kita dapat barakah, kita pun dapat barakah sekali. Jangan ingat kita tak mendoakan orang lain Allah suka kepada kita. Allah suruh kita doakan semua muslimin dan muslimah sama ada yang hidup atau yang telah pergi dahulu.

“Itu doa yang baik. Ada juga tulis macam itu pula (di Facebook). Itulah mereka, sombong, ego, bongkak,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau berkata tidak menghairankan apabila kenyataan seperti itu datang daripada individu daripada parti yang membawa perpecahan kepada orang Melayu dan Islam.

“Sebilangan mereka terlalu emosi, kalau kita berhujah akhirnya akan jadi pertengkaran, pergaduhan Itu kerana perangai mereka emosi yang tak ketahuan.

“Mereka cepat koyak, cepat menuduh orang. Punca segala-galanya Melayu terpecah tiga, empat ni bukan punca kita kerana kita bercakap berasaskan kepada sains dan data.

“… kerana percaya tok-tok guru yang suka mendapat pengaruh melalui sentimen bukan bercakap data dan fakta tetapi persepsi naratif-naratif negatif kepada orang lain yang tak menyokong parti mereka,” ujar beliau.

Terdahulu, dalam entri yang dipercayai sudah dimuat turun individu terbabit iaitu Hezry Yasin, antara lain menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat.

Hezry juga mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, Hezry didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda Pas Selangor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.