Pertahankan UMNO Daripada Dicaci Dan Difitnah – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 16 April – Pemimpin serta ahli UMNO perlu terus mempertahankan parti serta kepimpinan dari berterusan menerima tohmahan dan fitnah daripada pihak lawan, demikian tegasnya Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali.

Katanya, walaupun parti ini menghadapi tekanan yang amat tinggi namun kekuatan, ketahanan dan keazaman kepimpinan dan akar umbi dapat hadapi segala cabaran.

“Walaupun sering difitnah dan dicerca, UMNO terus menunjukkan ketahanan dan keazaman dalam menghadapi cabaran.

“Usaha untuk mempengaruhi persepsi terhadap UMNO tidak menghalang komitmen parti dalam mempertahankan matlamat dan nilai-nilai asasnya. Kekuatan UMNO dapat dilihat dalam ketahanannya terhadap tekanan luaran.

“Ini adalah salah satu cara mereka hendak pecah belahkan parti kita kerana mereka takut perpaduan dan kesatuan yang wujud dalam UMNO. Jangan pula kita percaya atau melipat gandakan fitnah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, ahli-ahli UMNO sekarang ini semakin sangat matang berpolitik dan boleh menilai sesuatu perkara yang boleh menjejaskan kredibiliti parti ini.

Pada masa yang sama beliau juga Presiden Mahasiswa UMNO Malaysia berharap komitmen yang diberikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh terus diperjuangkan walaupun berdepan ancaman bunuh.

“UMNO khususnya melalui Ketua Pergerakan Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh yang amat tegas memperjuangkan isu penghinaan terhadap kalimah Allah. Isu ini amat meruntuhkan hati-hati umat islam di Malaysia, meskipun beliau terpaksa berdepan dengan ancaman bunuh.

“Dengan komitmen ini, UMNO mampu menjadi penyambung lidah rakyat dan kekal dengan prinsip, tujuan asal penubuhannya sebagai parti yang menjadi pohon kepada rakyat untuk tumpang berteduh,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.