Konflik Timur Tengah: Semua Pihak Perlu Main Peranan, Pastikan Ketegangan Tidak Memuncak

KUALA LUMPUR, 16 April – Semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Presiden UMNO telah hadir ke Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malaysia berpendirian agar semua pihak harus memainkan peranan memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak.

“Mesyuarat Khas Sidang MKN yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan tentang perkembangan situasi tersebut dan impaknya terhadap negara,” katanya.

Semalam media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang MKN bagi membincangkan situasi tegang di Asia Barat susulan peperangan antara Iran dan Israel.

Menurut Anwar, mesyuarat tersebut diadakan bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terjejas dan juga merupakan bukti kerajaan Madani mengambil serius terhadap isu berkenaan.

Anwar berkata, pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

Pada Ahad, Iran melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu di wilayah diduduki Israel, memulakan serangan yang berkemungkinan mencetuskan ketegangan besar antara seteru rantau itu.

Iran telah berikrar untuk membalas dendam atas serangan Israel ke atas konsulat Damsyik pada 1 April yang membunuh tujuh pegawai pengawal termasuk dua komander kanan dan beranggapan bahawa serangannya adalah hukuman bagi ‘jenayah Israel’. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.