Lenggong Geopark: Naik Taraf Jeti Nelayan Kg Jagor Mampu Tingkatkan Sosioekonomi Setempat

LENGGONG, 15 April – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berharap agar projek menaiktaraf jeti nelayan Kampung Jagor di Gerik dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah turun padang untuk meninjau projek pembangunan berkenaan pagi tadi.

“Dalam perjalanan untuk lawatan rasmi dan Majlis Ramah Mesra bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, saya singgah untuk meninjau projek pembangunan di kawasan Parlimen Lenggong iaitu di jeti nelayan Kampung Jagor, Gerik.

“Bersama dengan Pegawai-Pegawai Majlis Daerah Gerik, saya meninjau projek naik taraf jeti ini yang akan dijadikan salah satu daripada lokasi aktiviti pelancongan di bawah Projek Lenggong Geopark dikendalikan oleh Majlis Daerah Gerik.

“Semoga direalisasikan projek ini untuk meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Jeti nelayan Kampung Jagor merupakan salah satu tarikan dan aktiviti pelancongan di bawah Projek Lenggong Geopark yang diusahakan sejak tahun 2020.

Untuk rekod, terdapat empat elemen di bawah Projek Lenggong Geopark ini antaranya Geotapak, Biotapak, Geoarkeologi dan Tapak Budaya serta Warisan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.