Kesepaduan Antara Pelbagai Generasi Hasilkan Masa Depan Negara Yang Lebih Baik

KUALA LUMPUR, 15 April – UMNO perlu melipat-gandakan usaha mendekati golongan muda agar generasi itu menghayati peranan besar parti dalam membangunkan negara selain berjuang melawan penjajah pada awal penubuhannya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata jasa dan sumbangan pimpinan parti tidak boleh dinafikan dan begitu besar hikmahnya pada rakyat.

Selain itu kata beliau lagi, usaha untuk membangun kepercayaan dan keakraban dengan generasi muda perlu ditekankan agar mereka merasa dianggap serius dan didengar dalam proses pembangunan negara.

“Kita perlu berusaha untuk menghapuskan jurang antara UMNO dan generasi muda, membawa mereka bersama-sama dalam usaha untuk membentuk masa depan yang lebih baik bagi Malaysia.

“Hanya dengan kesinambungan dan kesepaduan antara pelbagai generasi, kita boleh mencapai pembangunan negara yang seimbang dan berdaya saing,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang itu, selain mempunyai sejarah yang kaya dan pencapaian yang besar, adalah penting untuk UMNO tidak mengabaikan pandangan dan aspirasi generasi muda.

“Generasi ini kurang cakna tentang warisan politik UMNO dan skeptikal terhadap beberapa tindakan atau keputusan yang telah diambil dalam sejarah parti. Mereka kelihatan lebih peka terhadap isu-isu semasa dan global.

“Kita perlu memberikan ruang untuk perbincangan yang terbuka dan jujur serta menerima kritikan yang membangun. Dengan memahami aspirasi dan keperluan generasi muda, kita boleh bergerak ke hadapan dengan cara yang lebih progresif dan relevan dengan realiti semasa.

“Keadaan ini juga menunjukkan keperluan untuk mengubah strategi komunikasi dan penyampaian maklumat untuk mencapai generasi muda dengan lebih efektif. Kita perlu menggunakan platform dan bahasa yang mereka boleh terima serta memahami untuk menyampaikan mesej-mesej kita,” katanya lagi.

Tambahnya, sumbangan besar yang dilakukan oleh UMNO dalam pembangunan negara selama bertahun-tahun memainkan peranan penting dalam membawa Malaysia ke arah kemajuan ekonomi, sosial, pendidikan dan infrastruktur serta terkenal di seluruh dunia.

“UMNO ada jasa dan budi, kita bantu dan bagi sumbangan pada rakyat di kala susah dan senang. Tidak kira beri bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan negara. Pencapaian parti ini dalam mentadbir negara tidak boleh dipandang ringan.

“Termasuk juga pelbagai sumbangan UMNO melalui pelaksanaan projek-projek mega dan dasar-dasar ekonomi telah memberi banyak manfaat pada jutaan rakyat Malaysia,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.