Ambil Tindakan Tegas Terhadap Individu Tidak Hormat Institusi Raja, Elak Jadi Budaya – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 15 April – Wanita Malaysia UMNO menzahirkan rasa kesal dengan tindakan seorang pemimpin politik muda yang membuat hantaran di Facebook memperlekeh Institusi Raja-Raja dan kesucian agama Islam di negara ini.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kenyataan yang dibuat itu jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan mampu menjejaskan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.

“Wanita UMNO Malaysia menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut supaya kenyataan tidak menghormati Institusi Raja-Raja ini tidak menjadi budaya di negara ini.

“⁠Tindakan tegas seperti ini amat penting sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya lebih peka dan bertanggungjawab dalam mengulas isu-isu sensitif atau berkaitan 3R (agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu tegas berkata keberkatan Syawal perlu dirai di samping tidak membangkitkan isu-isu yang menimbulkan kemarahan rakyat.

“Bulan Syawal ini adalah masa untuk bermaafan bukan untuk mencetus suhu panas politik.

“Justeru Wanita UMNO menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian demi kesejahteraan negara,” ujar beliau.

Terdahulu, dalam entri yang dipercayai sudah dimuat turun individu terbabit iaitu Hezry Yasin, antara lain menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat.

Hezry juga mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, Hezry didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda Pas Selangor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.