Hina Agong: 26 Bahagian Pemuda UMNO Johor Akan Buat Laporan Polis – Nor Azleen

JOHOR BAHRU, 14 April – Pemuda UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dibuat terhadap seorang individu yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, 26 Pemuda UMNO Bahagian di negeri ini akan bertindak membuat laporan tersebut bermula Ahad.

“Bermula Ahad, kita akan minta semua Pemuda UMNO Bahagian dalam Johor buat laporan polis mengenai seorang individu yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam entri yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain beliau menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini.

Beliau juga mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan yang dikenali sebagai Hezry Yasin.

Menurut Nor Azleen, amalan mendoakan ketua agama dan pemerintah di Johor merupakan kunci kesejahteraan dan keamanan negeri serta seluruh rakyat.

“Setelah sekian lama, amalan mendoakan Ketua Agama dan Pemerintah adalah sebahagian daripada rutin yang menjadi praktis di semua masjid dan surau seluruh negeri Johor.

“Bahkan, amalan ini bukan sekadar menjadi rutin setiap kali selepas solat fardhu Jumaat, malah ianya merupakan rutin wajib selepas solat fardhu pada setiap waktu di masjid dan surau di seluruh negeri,” katanya. – Sinar Harian

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.